KUALA LUMPUR | “Jangan cabar arahan kerajaan, ini amaran saya kepada kilang dan premis perniagaan yang masih berdegil melanggar prosedur operasi standard (SOP),” kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, sebanyak 180 kilang serta premis perniagaan diarah tutup kerana gagal mematuhi arahan dan SOP di tetapkan.
Katanya, rakyat lain boleh bersabar, kenapa masih ada pihak masih berdegil dan merupakan penyumbang utama.
“Saya berbesar hati kepada netizen, penduduk sekitar dan rakyat yang sentiasa memberi maklumat pada pihak berkuasa terhadap mereka yang rakus dan tamak ini,” katanya menerusi laman Facebooknya di sini.
Pada perkembangan yang lain beliau berkata, sebanyak 13,215 orang dijangkiti COVID-19, semalam.
“Tiga negeri menjadi menyumbang terbesar iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
“Ini adalah satu jumlah yang besar. Namun hal ini berlaku kerana, ujian saringan secara besar-besaran dan bersasar di kawasan yang dikenakan Perintah Kawakan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
“Kerajaan akan terus menumpukan usaha memperluas dan mempercepat pemberian vaksinasi bagi menangani kebimbangan rakyat susulan peningkatan kes ini. Doa saya agar kita semua dapat bersama-sama menghentikan penularan pandemik ini dari negara kita,” katanya.