KUALA LUMPUR | Bagi meringankan bebanan pelajar, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bersama Universiti Awam (UA) melaksanakan beberapa inisiatif termasuk mengurangkan yuran sepanjang pandemik Covid-19.
KPT dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan inisiatif berkenaan membabitkan implikasi kewangan yang dianggarkan berjumlah RM185.7 juta bagi manfaat 386,142 orang pelajar bagi ketiga-tiga semester.
“UA telah melaksanakan beberapa inisiatif, antaranya, melalui pengurangan Yuran Perkhidmatan, Yuran Asrama, Yuran Konvokesyen dan Yuran Aktiviti Kolej di antara purata 10 peratus hingga 35 peratus bermula Semester Kedua Sesi Akademik 2019/2020 sehingga hari ini.
“Pengurangan yuran bagi Semester Kedua Sesi Akademik 2019/2020 untuk semua pelajar warganegara Malaysia melibatkan peruntukan sebanyak RM75 juta yang mana RM20 juta merupakan peruntukan tambahan Kerajaan dan RM55 juta menggunakan sumber dalaman UA.
“Bagi Semester Pertama Sesi Akademik 2020/2021, pengurangan yuran sebanyak RM70.2 juta diberikan oleh UA, manakala, bagi Sesi Kedua Sesi Akademik 2020/2021 pula pengurangan sebanyak RM40.5 juta telah diberikan,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan KPT sentiasa mendengar dan memahami keluh kesah para ibu bapa dan pelajar yang terkesan sepanjang setahun pandemik COVID-19 yang mencabar ini.
“Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) melalui Surat Edaran bertarikh 22 Mac lalu telah meminta UA agar memberikan kelonggaran dan pertimbangan sewajarnya terhadap tuntutan bayaran yuran, terutamanya kepada pelajar yang terjejas dan menghadapi masalah kewangan.
“Langkah yang telah diambil ini jelas memperlihatkan keprihatinan kerajaan dalam menangani bebanan kewangan yang dihadapi oleh pelajar dan ibubapa.
“Kementerian juga berpandangan bahawa kadar pengurangan yuran yang dinyatakan adalah munasabah memandangkan 20 UA ini terpaksa menanggung kos operasi yang tinggi dengan menggunakan sumber peruntukan dalaman universiti susulan penurunan penjanaan pendapatan menerusi yuran pelajar selain pengurangan peruntukan mengurus oleh Kerajaan berikutan pandemik yang dihadapi kini,” katanya.
Tamat