KOTA BHARU | Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu berbangkit mengenai pengurusan dan operasi Tabung Haji (TH) adalah satu langkah yang baik dan sudah lama ditunggu oleh rakyat.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Malaysia, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi berkata, penubuhan RCI itu amat dialu-alukan oleh semua pihak.
“Penubuhan RCI adalah satu perkara yang amat kita alu-alukan kerana memang sudah lama kita tunggu. Dari zaman Pakatan Harapan (PH) lagi dan dalam manifesto PH juga sebut bahawa RCI akan ditubuhkan tapi ia tidak berlaku.
“Cuma kerajaan Perikatan Nasional (PN) sahaja perkara itu berlaku yang mencerminkan ketelusan kerajaan, pimpinan PN yang betul-betul mahu menjawab kepada semua pertanyaan rakyat supaya TH dapat dikekalkan dan tidak lari dari agendanya.
“Ia juga dapat memastikan simpanan rakyat seperti kita terjaga dan dapat menyimpan serta menabung bagi tujuan Ibadah Haji,” katanya di sini hari ini.
Beliau yang juga Ketua Bahagian Bersatu Kota Bharu berkata, tujuan utama RCI adalah untuk mendapatkan penjelasan, maklumat terperinci mengenai pengurusan dan pengurusan kewangan TH.
“Kita juga maklum berkaitan masalah TH pada 2017, di mana isu sentral yang ditimbulkan ialah kedudukan liabiliti TH melebihi kedudukan aset.
“Dengan kata lain, TH pada waktu itu adalah tidak solven atau kekurangan aset menyebabkan kedudukan kewangan TH sangat terjejas dan juga tergugat,” katanya.
Menurutnya, pada penyata kewangan TH berakhir pada 31 Disember 2017 juga dapat dilihat apabila kenyataan Ketua Audit Negara yang menyebut bahawa masalah di TH ialah mengenai polisi rosot nilai yang bertukar-tukar, malah pada 2017 dua kali polisi rosot nilai telah ditukar.
Katanya, ia seolah-olah mencerminkan bahawa polisi itu ditukar, diubah semata-mata untuk mengubah kedudukan aset dan liabiliti penyata kewangan TH.
“Daripada komen atau teguran Ketua Audit, kita dapati juru audit TH tidak mengeluarkan apa-apa pandangan mengenai akaun teraudit TH dengan kata lain juru audit memberi ‘no opinion’ terhadap akaun TH. Jadi apakah sebenarnya berlaku?.
“Inilah yang rakyat mahu tahu iaitu perkara paling pokok ialah pengurusan TH itu sendiri telus. Sama ada pengurusan kewangan TH terkawal dan struktur serta kawalan dalaman (internal control) TH adalah kukuh dan berkesan.
“Yang kedua sama ada berlaku penyalahgunaan kuasa dalam pengurusan TH,” katanya.
Beliau berkata, pada 2018, Special Purpose Vehicle (SPV) diwujudkan oleh kerajaan semata-mata untuk mengambil alih aset TH yang mengalami kerugian di mana nilai
pasaran adalah lebih rendah dari nilai yang dilaburkan.
“Ini melibatkan 106 pelaburan dalam bentuk ekuiti di pasaran BSKL, di mana nilainya telah jauh merosot berbanding nilai belian.
“Pada masa yang sama, ia melibatkan 39 pelaburan di dalam hartanah dan anak syarikat di mana nilai semasa adalah kurang daripada nilai pelaburanan.
“Secara keseluruhan nilai pelaburanan TH dalam perkara itu telah berkurangan sehingga melebihi RM10 bilion daripada nilai semasa dan kita juga tak pasti kenapa TH begitu besar melabur di dalam pasaran ekuiti sehingga lebih kurang 40 peratus daripada dana TH,” katanya.
Katanya, pelaburan yang tinggi itu perlu dijelaskan dan berharap supaya RCI yang akan ditubuhkan itu boleh memberi penjelasan yang lebih baik serta membuat cadangan bagaimana pengurusan TH dapat terus diperkukuhkan.
Menurutnya, ia bagi memastikan pelaburan daripada rakyat dan simpanan rakyat biasa yang ingin menunaikan Ibadah Haji terjaga.
Tamat.