KUALA LUMPUR | Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) mengingatkan media dan masyarakat umum supaya tidak terus menyebarkan gambar serta video yang menunjukkan identiti mangsa kanak-kanak.
Ini berikutan kisah penderaan seorang kanak-kanak perempuan sindrom down, Bella, 13 di sebuah rumah yang terletak di Wangsa Maju, yang menjadi tular dengan gambar dan video gadis terbabit disebarkan secara atas talian.
Pesuruhjaya Kanak-kanak (CC) SUHAKAM, Datuk Noor Aziah Mohd Awal, berkata mereka yang masih menyebarkan gambar dan video berkenaan adalah menyalahi Seksyen 15 Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611)
Katanya, ia juga selaras dengan Perkara 37(a) Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC) yang telah diratifikasi Malaysia pada tahun 1995 di mana ia jelas menyatakan ‘tidak ada kanak-kanak boleh tertakluk kepada layanan yang menjatuhkan maruah’.
“Kami memohon masyarakat umum untuk tidak lagi menyebarkan identiti mangsa kanak-kanak kerana maruah kanak-kanak hendaklah dijaga dan dipelihara sebaiknya.
“Berdasarkan Perkara 23 CRC, saya menggesa kerajaan untuk memastikan kanak-kanak kurang upaya adalah bukan sahaja berhak kepada perlindungan dan bantuan, tetapi mestilah dibenarkan untuk terlibat secara menyeluruh dalam masyarakat.
“Kanak-kanak kurang upaya mempunyai hak untuk menyatakan pandangan mereka, terlibat dalam membuat keputusan yang memberi kesan kepada mereka, menerima pendidikan yang inklusif, dan dilindungi daripada keganasan dan penderaan seperti orang lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Noor Aziah berterima kasih kepada pihak polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang telah bertindak dengan pantas dan terus menyiasat kes, yang mana ketika ini dalam semakan Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan undang-undang selanjutnya.
“Pejabat Pesuruhjaya Kanak-kanak (OCC) akan terus memantau perkembangan kes bagi memastikan mangsa kanak-kanak diberikan perlindungan dan rawatan yang bersesuaian, memandangkan kanak-kanak tersebut dan mereka yang dijangkiti telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan,” katanya.
Kisah Bella tular di laman sosial selepas seorang wanita dikenali sebagai Mona Din mendedahkan mengenai penderitaan remaja berkenaan yang mengalami kesan lecur dan luka di anggota badan dipercayai akibat didera.
Susulan pendedahan itu, JKM menyita Rumah Bonda di Wangsa Maju di sini, semalam, yang dikaitkan dengan kes penderaan remaja istimewa terbabit.
Tamat