KUALA LUMPUR | Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) mencadangkan supaya suntikan vaksin segera diberikan keutamaan kepada sektor perkhidmatan selain menyenaraikan mereka sebagai barisan hadapan yang menyediakan khidmat kepada orang ramai.
Presidennya, Datuk Mohamed Shafie Bp Mammal, berkata ia berikutan proses penyuntikan pertama vaksin mengambil masa yang terlalu lama apabila masih terdapat mereka yang sudah mendaftar dengan MySejahtera pada bulan Februari lalu, namun masih belum peroleh temujanji untuk suntikan.
Katanya, kebanyakan pekerja di sektor perkhidmatan seperti bahagaian peruncitan; pasar raya; media; restoran; perbankan dan kewangan; pos dan kaurier; serta pembuatan dan pembinaan berhadapan dengan kebimbangan kerana mereka masih belum diberikan sebarang suntikan.
“UNI-MLC mengucapkan terima kasih atas suntikan kepada pekerja barisan hadapan dalam sektor perubatan dan kesihatan pada Mac lalu.
“Bagaimanapun kelewatan pemberian vaksin kepada pekerja barisan hadapan yang lain adalah sesuatu yang mengecewakan, membimbangkan dan memerlukan perhatian segera di pihak Kerajaan.
“Kerajaan perlu mengkategorikan setiap pekerja sebagai anggota barisan hadapan kerana masing-masing mempunyai peranan dan fungsi penting demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kerajaan wajar mengadakan satu perbincangan dengan kesatuan sekerja dan badan industri bagi mencari jalan penyelesaian keseluruhan.
“Dalam hal ini, saya memohon Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin campur tangan dalam memastikan proses vaksinasi ke atas pekerja di semua peringkat dan sektor disegerakan, terutama mereka di Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan yang menyaksikan peningkatkan kes dengan mendadak.
“Langkah yang sama perlu diberi perhatian di negeri-negeri yang lain supaya tidak ada situasi yang sama seperti yang dialami di ketiga-tiga negeri dan wilayah itu.
“UNI-MLC mencadangkan supaya proses penyuntikan vaksin juga diserahkan kepada tiap-tiap negeri bukan dikawal oleh pihak
persekutuan,” katanya.
Tamat