by Nor Shazleza Shahril
KOTA BHARU | Seorang warga emas separuh abad yang pernah tular kerana menerima vaksin tampil memberi bantuan kepada golongan yang memerlukan di sini, semalam.
Siti Liah Mamat, 120, yang lebih mesra dengan panggilan nenek turut bersimpati dengan nasib golongan yang terjejas sejak pandemik Covid-19 melanda di negara ini.
Dia yang pernah menjadi usahawan pelbagai barangan runcit di Melor sering menjadikan amalan bersedekah sejak muda sebagai salah satu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.

“Saya rasa lega dan ‘segar’ bila boleh bagi sedekah pada orang susah. Berasa senang hati, puas. Memang saya suka bantu orang sejak dari muda dulu. Walaupun sekarang sudah berumur, tapi saya minta tolong anak cucu bantu bagi sumbangan.
“Dengan perkongsian ini dapatlah sedikit sebanyak membantu meringankan beban mereka”, katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya di Dusun Raja, disini pada Jumaat.
Turut hadir bagi menerima sumbangan iaitu Pengasas Kelab Kebajikan Asnaf Kelantan (KKAK), Meor Shamshir Meor Zulkefli dan Presiden Kelab Media Kelantan Darulnaim (KEMUDI), Shahnon Hanif Abdullah Suhaimi.
Sementara itu, Meor Shamshir ketika ditemui memberitahu, pihaknya sangat teruja dengan kesudian Siti Liah untuk memberikan sumbangan pek makanan berkenaan.
“Saya berharap agar apa yang dilakukan oleh nenek akan menjadi ikutan semua pihak supaya kita dapat membantu mereka yang memerlukan. Semoga pahala amalan mulia ini akan terus mengalir sehingga akhirat nanti,” katanya.