KOTA BHARU | Belum ada anggota Exco kerajaan negeri dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes rasuah dan salah guna kuasa membabitkan Air Kelantan Sendirian Berhad (AKSB).
Bagaimanapun, lapor Bernama, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata beberapa Ahli Lembaga Pengarah AKSB sudah dipanggil untuk diambil keterangan.
“Apa yang saya difahamkan, isu ini lebih kepada masalah pegawai dan syarikat kontraktor,” katanya selepas menyampaikan sumbangan makanan kepada petugas barisan hadapan di Perumahan Taman Kurnia Jaya, Pengkalan Chepa yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), di sini, hari ini.
Mohd Amar yang juga Naib Presiden PAS berkata, pendirian kerajaan negeri jelas iaitu sesiapa yang terbabit akan diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan.
Sebelum ini empat individu termasuk bekas Pengurus Besar AKSB ditahan untuk membantu siasatan berkaitan rasuah dan salah guna kuasa membabitkan projek bernilai lebih RM27 juta mulai 2015 hingga 2019.
Sementara itu, mengulas dana RM600 juta dikatakan diterima kerajaan negeri bagi penyelesaian isu air beberapa tahun lalu, Mohd Amar berkata, sebenarnya wang dikatakan itu tidak pernah berada di tangan kerajaan negeri.
Beliau berkata, semua projek yang siap dilaksanakan kontraktor akan dimaklumkan kepada AKSB dan perkara itu akan dirujuk kepada Kementerian Kewangan untuk sebarang pembayaran.
“Dalam isu ini, kerajaan negeri hanyalah ‘posmen’ kerana pemilihan kontraktor atau syarikat dan semua pembayaran dilakukan Kementerian Kewangan. Kerajaan negeri tidak pernah campur tangan,” katanya.