KUALA LUMPUR | Seramai 433 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) kawalan pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) menerusi Operasi Pematuhan di seluruh negara, semalam.
Lapor Berita Harian, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata daripada keseluruhan penahanan itu, 408 individu dikenakan kompaun, manakala 25 lagi direman.
Mengenai Operasi Benteng (Op Benteng), beliau berkata, seramai 39 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dan empat kenderaan darat dirampas menerusi operasi yang dijalankan di kawasan sempadan negara.
“Pihak berkuasa turut mendirikan 890 sekatan jalan raya di seluruh negara menerusi operasi itu, semalam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, empat daripada 40 pekerja warga asing yang menjalani ujian saringan, semalam disahkan positif COVID-19.
“Secara kumulatifnya, seramai 701,039 pekerja warga asing sudah menjalani ujian saringan COVID19 membabitkan 6,450 majikan sejak ujian itu diwajibkan mulai 1 Februari lalu.
“Setakat ini, seramai 10,419 orang disahkan positif COVID-19 manakala 690,620 lagi negatif,” katanya.
Mengenai pemeriksaan khas Pematuhan SOP oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ke atas premis perniagaan, Ismail Sabri berkata enam premis dikompaun kerana tidak patuh SOP, semalam.
Beliau juga berkata, pemeriksaan peringkat peruncit dan pemborong mendapati bekalan makanan adalah stabil dan mencukupi.
Sementara itu, katanya, seramai 990 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa, semalam dan semuanya dikuarantin di stesen-stesen kuarantin di seluruh negara.