KUALA LUMPUR | Walaupun aktiviti rentas negeri tidak dibenarkan, pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), ANIH Berhad, yang bermula dari Gombak, Selangor ke Jabor, Terengganu, terus peka dalam memastikan operasi dan fasiliti berada dalam keadaan terbaik.
Pengarah Eksekutif ANIH Berhad, Datuk Nik Fauzi Nik Hussein berkata ini kerana adalah menjadi tanggungjawab syarikat untuk memastikan keselesaan pengguna ketika menggunakan KLK dan LPT 1.
“Syarikat mengambil maklum dan menghormati keputusan kerajaan mengenai larangan rentas negeri ketika ini.
“Bagaimanapun kami akan terus memastikan semua kemudahan lebuhraya termasuk di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R), Hentian Sebelah dan perkhidmatan tol serta trafik berada dalam keadaan terbaik dan bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan’’.
“Untuk tempoh musim perayaan Hari Raya Aidiladha bermula 16 Julai hingga 25 Julai ini, ANIH Berhad menjangkakan jumlah trafik akan mengalami penurunan berbanding jumlah purata harian, masing-masing sebanyak 81.3 peratus bagi KLK dan 72.5 peratus bagi LPT 1,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagi mengekang penularan wabak COVID-19, Nik Fauzi berkata, semua fasiliti di sepanjang KLK dan LPT 1 turut mempraktikkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang tinggi, sebagaimana ditetapkan oleh Kementerian Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Katanya, ia termasuk proses sanitasi berkala, serta penyediaan cecair pembasmi kuman, serta peralatan merekod butiran diri, dan alat pengimbas suhu badan.
“Oleh itu, pengguna lebuhraya disarankan untuk sentiasa mematuhi SOP ketika menggunakan fasiliti lebuhraya.
“Di dalam kita mensyukuri nikmat Hari Raya Aidiladha yang bakal tiba, jangan kita alpa untuk terus mematuhi SOP yang disarankan dalam usaha menghentikan rantaian wabak Covid-19,” katanya.
Untuk perjalanan yang lancar, pengguna dinasihat untuk memastikan baki kad dan e- Wallet Touch ‘n Go adalah mencukupi sebelum memasuki lebuhraya.
“Bagi urusan tambah nilai, pengguna boleh ke kiosk layan diri (SSK) yang disediakan di R&R Genting Sempah dan Hentian Sebelah Gombak bagi KLK ; R&R Temerloh Timur, R&R Temerloh Barat serta Plaza Tol Gambang bagi LPT1,” katanya
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai syarikat di laman web ANIH Berhad atau menerusi Twitter @LPTTrafik dan Facebook Lebuhraya Pantai Timur. Bagi bantuan kecemasan, pengguna disarankan untuk menghubungi talian 24 jam LPT Line di 1-700-818-700 atau 09-5479 111.
Tamat