MILAN | Penyerang Chelsea dari Perancis, Olivier Giroud sudah melengkapkan perpindahan ke AC Milan, umum kelab Itali berkenaan, hari ini.
Lapor AFP, pemenang Piala Dunia berusia 34 tahun itu menjalani ujian perubatan, semalam sebelum menandatangani kontrak dengan naib juara Serie A yang kembali ke Liga Juara-Juara musim depan selepas tujuh tahun tercicir.
“AC Milan dengan sukacita mengumumkan mengikat Olivier Jonathan Giroud dengan perpindahan tetap dari Chelsea,” kata kelab itu dalam satu kenyataan tanpa memberikan perincian mengenai tempoh kontrak, namun media Itali melaporkan perjanjian itu adalah selama dua tahun.
“Penyerang Perancis itu akan memakai jersi nombor 9.” Bulan lalu, Chelsea melanjutkan kontrak Giroud selama setahun hingga Jun 2022, namun dia lebih suka berhijrah dari Stamford Bridge selepas tidak menjadi pemain pilihan dengan hanya lapan kali diturunkan dalam kesebelasan utama di Liga Perdana Inggeris musim lalu.
“Kepada seluruh pasukan Blues, rakan sepasukan, semua jurulatih, terima kasih untuk saat-saat istimewa. Saya memulakan perjalanan baharu dengan hati yang tenang dan gembira,” kata Giroud menerusi akaun Twitter selepas menjalani ujian perubatan.
“Kemenangan kami di Piala FA, Liga Europa dan Liga Juara-Juara sangat luar biasa.”
Di AC Milan, Giroud dijangka digilirkan dengan bintang Sweden, Zlatan Ibrahimovic, 39, yang sudah pulih dari pembedahan lutut dan masih belum pasti boleh beraksi untuk permulaan kempen akan datang.
Giroud memenangi Ligue 1 bersama Montpellier pada 2012 sebelum berhijrah ke England dan menghabiskan enam musim di Arsenal sebelum menyertai Chelsea pada 2018.
Dia meledak 105 gol dalam 253 aksi buat The Gunners dengan memenangi tiga Piala FA dan tiga Perisai Komuniti.
Bersama Chelsea, dia menjaringkan 39 gol dalam 119 penampilan, memenangi trofi Piala FA, Liga Europa pada 2019 dan Liga Juara-Juara musim lalu.