KUALA LUMPUR | Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) menggesa kerajaan untuk menghentikan ugutan terhadap petugas kesihatan yang menyertai kempen Code Black dan Black Monday yang bertujuan untuk menyatakan sokongan terhadap kebajikan doktor kontrak.
Kempen Berkenaan hanyalah satu medium kebebasan untuk bersuara dan ekspresi, seperti yang termaktub di dalam Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan.
Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Tricia Yeoh, berkata pihaknya percaya segala keresahan doktor kontrak harus dipertimbangkan oleh pihak berwajib.
Katanya, mereka tidak dibekalkan dengan jaminan pekerjaan di dalam sektor perkhidmatan awam dan tidak diberikan kebajikan yang sepatutnya dinikmati oleh doktor yang memegang status tetap dalam perkhidmatan.
“Mereka juga tidak boleh memulakan latihan kepakaran disebabkan status kontrak yang mereka miliki. Pada masa yang sama, khidmat mereka di barisan hadapan (frontliner) tetap diperlukan dan boleh dipindahkan ke seluruh pelusuk negara.
“IDEAS menyeru pihak kerajaan untuk menghentikan segala siasatan terhadap semua doktor yang terlibat dalam kempen Code Black dan Black Monday kerana tindakan mereka selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan untuk berucap dan ekspresi.
“Kami memandang serius kenyataan daripada Majlis Perubatan Malaysia (MPM) yang mengatakan kebanyakan doktor yang terlibat mengalami tekanan perasaan rentetan daripada siasatan ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Memandangkan status petugas kesihatan negara kini mencapai tahap yang membimbangkan, beliau berkata semua pihak perlu memastikan agar motivasi mereka tetap utuh dan tinggi.
“Sistem perjawatan doktor kontrak harus diperhalusi bagi menjamin keadilan terhadap petugas kesihatan awam di negara kita.
“Sebagai penyelesaian jangka panjang, penyerapan kepada status ‘tetap dalam perkhidmatan’ harus diselaraskan bagi menjamin perkembangan kerjaya, penyelarasan gaji dan juga kemampanan sistem perkhidmatan kesihatan negara,” katanya.
IDEAS tidak bersetuju dengan gertakan oleh mana-mana organisasi kerajaan terhadap petugas kesihatan yang berkongsi situasi sebenar di beberapa hospital baru-baru ini.
“IDEAS bertanggapan segala perkongsian situasi sebenar seharusnya ditangani dalam bentuk penyelesaian dan penambahbaikan.
“Bagi menangani penularan wabak COVID-19, Malaysia seharusnya mengamalkan ‘whole of society approach’ – kerjasama yang erat antara pihak kerajaan dan swasta, termasuklah badan bukan kerajaan (NGO) bagi mengenalpasti dan memperbaiki kelemahan negara perangi pandemik,” katanya.
Tamat