KOTA BHARU | Dalam usaha membantu masyarakat dan mengejar saham akhirat, seramai 382 kakitangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) memotong gaji secara sukarela sejak Januari lalu.
Menurut Timbalan Yang Dipertua MAIK, Zulkifle Ab Rahman berkata, pemotongan gaji tersebut disalurkan kepada Dana Awam Baitulmal yang telah disediakan sebelum ini.
Katanya, Dana Awam Baitulmal sebelum ini digunakan bertujuan membantu mereka yang memerlukan yang tidak terhad kepada asnaf dan Muslim semata-mata.
“Seluruh kakitangan MAIK secara sukarela dan tidak ada seorang pun tidak bersetuju ketika kami perkenalkan pemotongan gaji dan mereka menunjukkan kesungguhan demi membantu masyarakat yang terkesan baik dari segi pandemik Covid-19 atau asnaf.
“Seratus peratus duit gaji yang dipotong ini untuk tujuan kebajikan yang akan dan telah dilakukan. Namun begitu, kebajikan kakitangan juga tetap terbela kerana kami sememangnya ada tabung kebajikan untuk kakitangan sendiri,” katanya kepada media hari ini.
Zulkifle berkata, Dana Awam Baitulmal digunakan untuk membantu golongan yang memerlukan termasuk masyarakat bukan Islam kerana duit zakat hanya untuk orang Islam.
“Sehingga kini Dana Awam Baitulmal yang sudah terkumpul lebih RM100,000 dan jumlah tersebut akan bertambah dari semasa ke semasa secara bulanan selari dengan penggunaannya.
“Kepada orang ramai yang ingin turut sama menyumbang kepada Dana Awam Baitulmal boleh berbuat demikian kerana setiap sumbangan disalurkan ini akan diagihkan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
Terdahulu, beliau hadir menyampaikan bantuan Program Bantuan Prihatin Maik dengan kerjasama Yayasan Amal Dato’ Zul Wisma di Muzium Islam Negeri Kelantan hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Yayasan Amal Dato’ Zul Wisma, Datuk Dr Zukepli Muhamad dan Setiausaha MAIK, Mohamad Rasani Ramli.
Seramai 300 penerima mendapat sumbangan hari ini berjumlah RM200 yang mana RM100 dalam bentuk barangan keperluan dan baki diberikan secara tunai