KOTA BHARU | Kemasukan kenderaan di Kelantan dari arah utara iaitu Perak, Kedah dan Perlis bertambah sebanyak lima peratus sejak semalam.
Timbalan Ketua Polis Kelantan Senior Asisten Komisioner Abdullah Muhammad Piah berkata, kenderaan masuk menerusi Jalan Gerik- Jeli.
Katanya, kenderaan di pintu masuk di sekatan jalan raya (SJR) Gua Musang dan SJR Pasir Puteh tidak mengalami pertambahan.
“Mereka yang masuk ke negeri ini ada alasan kerana mempunyai surat kebenaran daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Kebanyakan mereka ada surat termasuk mahu menziarahi kematian ahli keluarga, ziarah keluarga yang sakit dan cucuk vaksin Covid-19,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, di bandar-bandar utama seperti Kota Bharu, Pasir Mas, Tumpat dan Machang juga turut berlaku pertambahan sebanyak 15 peratus sejak semalam.
“Pertambahan kenderaan di bandar utama ini kerana orang ramai keluar untuk membeli barang keperluan bagi menyambut Aidiladha.
“Polis nasihatkan kepada masyarakat yang tiada keperluan untuk keluar supaya terus kekal di rumah,” katanya.