KUALA LUMPUR | Kerajaan tidak akan berkompromi dengan kilang yang melanggar arahan dan prosedur operasi standard (SOP).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hari ini beliau menyertai Op Patuh membuat pemeriksaan terhadap dua kilang di Selangor.
“Saya difahamkan kedua-dua kilang ada kesalahan melanggar arahan dan SOP.
“Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) pasti akan mengambil tindakan sepatutnya.
“Saya tidak berputus asa untuk memerangi kilang-kilang yang degil ini,” katanya menerusi laman Facebooknya di sini hari ini.
Beliau berkata, Op Patuh akan diteruskan dengan membuat pemeriksaan pematuhan kilang dan operasi perniagaan yang lain dan tindakan tegas pasti diambil termasuk penutupan kilang dan kompaun jika didapati melanggar arahan dan SOP.