KUALA LUMPUR | Polis akan mengenakan kompaun terhadap tiga individu yang menjadi penganjur perhimpunan membabitkan 20 individu di Dataran Merdeka, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, berkata kompaun akan turut diberikan kepada 20 individu yang lain mengikut Perkara 10 Peraturan-Peraturan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021 iaitu Larangan Berhimpun.
Beliau berkata, siasatan juga dijalankan di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana berhimpun tanpa notis.
“Polis mengesan seramai 20 individu yang berkumpul di Padang Dataran Merdeka dengan membawa bendera hitam, kain rentang serta lima patung menyerupai jenazah yang dikafan pada jam 2.55 petang.
“Siasatan mendapati kumpulan ini diketuai oleh Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) yang merupakan gabungan parti politik iaitu Parti MUDA, PEJUANG, Parti Amanah Negara (AMANAH), Parti Keadilan Rakyat (PKR).
“Berikutan itu, polis bersama Pasukan Pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ke tempat kejadian pada jam 3 petang sebelum mengarahkan kumpulan berkenaan bersurai dan beredar dari Dataran Merdeka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohamad Zainal berkata tiada kejadian tidak dingini berlaku selepas kumpulan terbabit bersurai 10 minit kemudian.
“Semasa himpunan tersebut berlangsung, kumpulan berkenaan turut melancarkan kempen puisi #PuisiDarurat bagi menyatakan bantahan terhadap kerajaan kerana gagal menangani Covid-19,” katanya.
Tamat