PUTRAJAYA | Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dalam usaha menjadikan Pulau Langkawi sebagai destinasi rintis Program Covid-19 Free Destination bagi merealisasikan sasaran 80 peratus (%) populasi penduduk pulau tersebut divaksinasikan untuk mencapai tahap imuniti kelompok.
Menterinya Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pelaksanaan itu selaras dengan tiga Fasa Pelan Pemulihan Pelancongan yang telah digariskan oleh MOTAC.
Katanya, cadangan inisiatif yang dibawa oleh MOTAC untuk meningkatkan pemberian vaksin kepada penduduk Langkawi telah dipersetujui oleh pihak kerajaan melalui Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Khairy Jamaluddin, yang merealisasikan Program Covid-19 Free Destination di Pulau Langkawi sebagai projek rintis.
“Usaha ini akan diperluaskan ke destinasi-destinasi pelancongan lain di negara ini iaitu di Pulau Pinang, Pahang, Johor, Melaka dan Sabah secara berperingkat sebagai green travel bubble.
“Khairy juga memberi jaminan bahawa bekalan vaksin akan tiba pada minggu hadapan adalah mencukupi bagi menjayakan sasaran 80% imuniti kelompok,” katanya.
Nancy berkata, Pulau Langkawi dipilih sebagai ‘testing ground’ bagi menyemarakkan kembali industri yang telah lama terjejas akibat Covid-19.
Katanya, tujuan pemilihan Langkawi juga kerana pulau itu terasing dan memudahkan urusan pemantauan.
“Destinasi rintis yang dipilih ini mempunyai kekuatannya yang tersendiri seperti mempunyai rangkaian penerbangan seranta dan antarabangsa, serta mempunyai kepelbagaian kemudahan penginapan bagi pelbagai lapisan segmen pelancong.
Jumlah penduduk di Pulau Langkawi yang layak menerima vaksin adalah dianggarkan sekitar 76,400 orang daripada keseluruhan penduduk yang berjumlah 111,500 orang.
“Mengikut laporan yang dikeluarkan oleh CITF Negeri Kedah, sehingga 12 Julai, jumlah penduduk Langkawi yang telah mendaftar untuk vaksinasi adalah seramai 61,313 orang Daripada jumlah tersebut, bilangan penerima vaksin dos pertama adalah seramai 27,362 orang manakala dos kedua seramai 20,465 orang,” katanya.
Beliau berkata, jumlah penduduk yang mendaftar dan menerima vaksin lengkap adalah sebanyak 30% dan agak rendah.
“Menerusi kerjasama semua jabatan atau agensi diperingkat persekutuan dan negeri, satu PPV Integrasi baharu dilancarkan hari ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC) dengan kapasiti penerima vaksin disasarkan seramai 3,000 orang sehari.
“Usaha MOTAC menerusi program ini juga adalah untuk memastikan sektor pelancongan mampu menjana semula pendapatan secara berterusan kepada negara selepas sektor ini dapat dibuka secara berperingkat.
“Sektor pelancongan dan kebudayaan secara keseluruhan dapat dipulihkan kembali mengikut sasaran pada bulan November ini atau lebih awal mengikut Pelan Pemulihan Negara tasa ke empat sekiranya rakyat terus mematuhi SOP dan situasi semasa COVID-19 berada pada lahap yang tidak rnembirnbangkan,” katanya.