KUALA LUMPUR | Pos Malaysia mengingatkan orang ramai agar berwaspada dengan panggilan telefon, pesanan teks atau e-mel berunsur penipuan termasuk iklan jawatan kosong palsu yang menggunakan nama syarikat kurier itu.
Pos Malaysia dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan penipuan itu juga dihadapi oleh perkhidmatan pos di seluruh dunia dengan tujuan untuk memperdaya orang ramai untuk mendapatkan maklumat seperti butiran kad kredit, kata laluan, maklumat akaun atau data peribadi yang lain.
“Kami menasihati orang ramai agar tidak mendedahkan maklumat-maklumat tersebut dengan cara tidak membalas apa-apa permintaan melalui telefon, perkhidmatan pesanan teks (SMS), WhatsApp, e-mel atau kaedah lain termasuk tidak klik pautan yang dihantar bersama mesej-mesej penipuan ini.
“Orang ramai juga tidak berkongsi atau memasukkan maklumat sensitif di laman web /atuu portal yang tidak dimiliki Pos Malaysia.
“Kami mendapati wujudnya penipuan melalui e-mel yang menyasarkan orang ramai, dengan menggunakan nama dan logo Pos Malaysia tanpa kebenaran dan dihantar oleh pihak yang mempunyai niat untuk memperdaya,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, penggunaan domain e-mel bukan milik Pos Malaysia, atau menyerupai alamat domain rasmi seperti cares@malasianpos.com, atau cs@possmalaysia.com.
“Pos Malaysia juga tidak akan menghubungi pelanggan menggunakan akaun e-mel percuma seperti Hotmail, Yahoo, serta Gmail dengan menuntut pembayaran duti atau cukai Kastam untuk pelepasan bungkusan. E-mel ini harus diabaikan atau dipadam dengan segera.
“Kami juga meminta orang ramai agar berwaspada dengan iklan jawatan kosong palsu yang menawarkan kerjaya di Pos Malaysia.
“Sekiranya berasa ragu-ragu, disarankan agar selalu mengesahkan maklumat dengan merujuk kepada sumber yang sah dan dipercayai. Kekosongan jawatan di Pos Malaysia hanya diiklankan di laman web pekerjaan yang bereputasi dan sah, seperti JobStreet, atau di platform media sosial rasmi kami,” katanya.
Tamat