KUALA LUMPUR | Semua 6.1 juta populasi dewasa di Kuala Lumpur dan Selangor akan menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19 menjelang 1 Ogos depan.
Ini melibatkan pemberian vaksin pada kadar 1.3 juta dos sehingga 25 Julai dan 1.3 juta dos lagi antara 26 Julai hingga 1 Ogos depan.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sehingga kini, 3.5 juta populasi dewasa di Selangor dan Kuala Lumpur telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
“Ini adalah tindakan segera kerajaan untuk menangani kenaikan kes-kes positif secara mendadak di Selangor dan Kuala Lumpur. Data-data menunjukkan kes COVID-19 yang serius mencatat penurunan yang ketara dengan pemberian vaksin.
“Contohnya, dalam kalangan kumpulan warga emas (60 tahun ke atas), trend kemasukan ke Hospital Sungai Buloh bagi kes positif kategori 4 dan 5 telah mengalami penurunan melebihi 50 peratus dalam tempoh sebulan lalu.
“Kumpulan warga emas adalah fasa 2 dalam pemberian vaksin COVID-19 dan kini impak positif pemberian vaksin ini mulai dapat dilihat,” katanya menerusi laman Facebooknya di sini hari ini.
Beliau berkata, begitu juga petugas
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di mana mereka telah menerima vaksin COVID-19 lebih awal lagi.
“Didapati hanya 1.26 peratus dalam kalangan petugas KKM dijangkiti COVID-19 selepas lengkap divaksinasi. Sebanyak 99.8 peratus daripada mereka pula hanya mengalami gejala ringan atau tidak bergejala dan tiada yang mengalami COVID-19 kategori 5.
“Satu lagi contoh ialah Labuan, iaitu tempat di mana varian delta mula dikesan di negara kita. Kerajaan telah mengambil tindakan segera dengan menambah bekalan vaksin untuk Labuan.
“Hasilnya, jumlah kes positif dan kes kematian akibat COVID-19 di Labuan dapat dikurangkan dengan peningkatan kadar vaksinasi,” katanya.
Beliau berkata, selain itu, penjelasan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia bahawa lebih 90 peratus kes positif COVID-19 di negara ini adalah dalam kategori satu dan dua agak melegakan kerana kebanyakannya adalah tidak bergejala atau bergejala ringan yang mampu untuk pulih semula.
“Walau bagaimanapun, saya telah mengarahkan KKM supaya lebih bersedia untuk menerima kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital dan memberikan rawatan yang terbaik. Ini memandangkan dunia sedang mencatatkan trend kenaikan kes COVID-19 dengan kemunculan varian-varian baharu yang lebih ganas.
“Kita semua sedang berusaha untuk melawan COVID-19 dan kita mesti sentiasa tabah serta cekal untuk terus lawan dan lawan. Insya-Allah, kita akan menang akhirnya,” katanya.