KUALA LUMPUR | Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan sesi persekolahan secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan diteruskan sehingga 31 Ogos.
KPM menerusi surat pemakluman berkata, ia mengambil kira situasi semasa pandemik COVID-19 serta perbincangan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Katanya, ketetapan itu terpakai untuk semua sekolah kerajaan, swasta dan institusi pendidikan berdaftar dengan KPM.
“KPM sentiasa bekerjasama rapat dengan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) bagi memastikan kadar vaksinasi dalam kalangan guru, pentadbir dan kakitangan sokongan sekolah dapat terus ditingkatkan.
“KPM juga menetapkan bahawa sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara bersemuka mulai 1 September 2021.
“Namun, KPM akan terus mengambil kira penilaian risiko oleh KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya di sini hari ini.
Kenyataan itu berkata, jika terdapat keperluan untuk membuat perubahan KPM akan maklumkan lebih awal.