By Nor Shazleza Shahril
KUALA LUMPUR | Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 pada 1 Jun lalu hingga 16 Julai sebanyak 267 kluster komuniti direkodkan.
Kluster berkenaan merekodkan sebanyak 17,106 kes positif COVID-19 (kadar positiviti 23.5 peratus) yang telah dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes dikesan daripada sejumlah 72,755 individu yang disaring melalui Active Case Detection (ACD) yang dijalankan di lapangan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) secara berterusan.
“105 kematian telah dilaporkan sehingga kini dan 42 kes sedang mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Kluster-kluster komuniti ini tercetus susulan sambutan majlis perayaan (Hari Raya Aidilfitri dan Hari Gawai), aktiviti kunjung-mengunjung di kawasan kejiranan atau kampung, perjumpaan antara ahli keluarga dari rumah yang berlainan serta majlis pengebumian.
“Beberapa kluster komuniti ini turut melibatkan aktiviti rentas negeri,” katanya menerusi laman Facebooknya di sini.
Beliau berkata, dalam tempoh itu juga, sebanyak 1,010 kes positif COVID-19 telah dilaporkan daripada 5,681 individu yang disaring dalam 21 kluster yang dilaporkan.
“Kluster ini didapati melibatkan aktiviti rentas negeri bagi tujuan sambutan perayaan, mengunjungi ahli keluarga, menghadiri majlis pengebumian serta atas urusan kerja.
“Negeri yang melaporkan jumlah kluster rentas negeri tertinggi sejak 1 Jun ialah Perak dengan 8 kluster,
Terengganu 5 kluster dan Kelantan 3 kluster.
“KKM ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua penduduk yang bersungguh-sungguh dalam mematuhi SOP yang digariskan dan terus kekal duduk di rumah,” katanya.
Katanya, KKM ingin mengambil kesempatan untuk menyeru masyarakat supaya mengambil iktibar dan sama-sama menjaga diri dan keluarga, khususnya semasa sambutan Hari Raya Aidiladha ini.