BY NORSHAZLEZA SHAHRIL
KOTA BHARU | Persidangan Khas Parlimen pada 26 Julai sehingga 2 Ogos ini akan membenarkan ahli-ahli Parlimen untuk berbahas.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, semua Ahli Parlimen boleh berbahas serta mengemukakan soalan.
Katanya, speaker akan menentukan perbahasan berkenaan dan berapa lama diperlukan untuk berbahas itu terpulang kepada Speaker Dewan Rakyat.
“Saya hendak sebutkan dengan jelas bahawa kebenaran daripada speaker untuk Ahli Parlimen membahaskan dan mengemukakan soalan-soalan atas saranan Perdana Menteri.
“Itu (perbahasan), saya pohon dalam surat daripada Perdana Menteri kepada Speaker Dewan Rakyat dan Dewan Negara dengan jelas mengatakan bahawa Perdana Menteri meminta kebenaran daripada speaker supaya membenarkan Ahli Parlimen membahaskan isu yang dibincangkan asalkan tidak melanggar tatacara berbahas serta tidak disekat oleh speaker.
“Ini menunjuklan bahawa kerajaan kita telus. Ahli Parlimen boleh mengambil bahagian dan boleh memberi pandangan selaras dengan titah Yang Dipertuan Agong supaya perkara ini dibincangkan di Dewan Rakyat,” katanya
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Pengagihan Bakul Makanan menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) di Pusat Khidmat Ahli Parlimen di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, sebagaimana yang dititahkan oleh Yang Dipertuan Agong, kerajaan melaksanakannya.
Beliau berkata, Persidangan Khas Parlimen itu akan membincangkan tiga agenda yang ditentukan oleh Perdana Menteri iaitu yang pertama membentangkan proklamasi darurat yang diisytiharkan pada 11 Januari lalu.
“Proklamasi darurat dan ordinan darurat yang dibuat akan dibentang di dalam Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
“Agenda kedua ialah kita juga akan membentangkan proklamasi darurat yang telah dibuat pada pilihan raya kecil (PRK) Gerik dan PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Bogaya di Sabah. Ia dibuat pada Disember lalu, tetapi belum dibentangkan lagi.
“Agenda ketiga ialah penerangan menteri-menteri berkaitan dengan masalah Covid-19 dan darurat yang berlaku, sebab ia adalah persidangan khas,” katanya.
Beliau berkata, Persidangan Khas Parlimen itu akan diadakan secara fizikal dan pada dasarnya boleh dihadiri oleh 220 Ahli Parlimen.