By Ismail Muhamad
TANAH MERAH | Sebut sahaja nama P. Ramlee, teringat kita kepada seniman agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee.
P. Ramlee Yajid, 61, yang dimaksudkan itu bukan seniman agung negara tetapi peniaga durian di Kampung Air Gatal di sini, yang sering menjadi tumpuan ramai peminat raja buah ketika melalui daerah ini.
Dia lebih dikenali Abg Lie yang menjual durian pelbagai jenis dari kebunnya di Kampung Air Gatal di sini, sejak 18 tahun lalu.
Gerai P. Ramlee yang terletak di tepi bahu jalan di kampung itu cukup dikenali orang ramai yang ingin mendapatkan durian pelbagai jenis termasuk musang king, kunyit, udang merah selain durian kampung yang enak dimakan.
Berpengalaman 18 tahun berniaga raja buah, P. Ramlee menganggap namanya yang sama seperti Allahyarham Tan Sri P Ramlee, mudah diingati orang ramai terutama bagi penduduk setempat atau pengunjung luar.
Makna tidaknya, kehadiran ramai pelanggan ke gerainya di Kampung Air Gatal di sini, untuk membeli pelbagai jenis durian yang dijualnya.
Turut memiliki dusun durian termasuk jenis musang king di belakang rumahnya, dia menjadi tumpuan kerana setiap kali tibanya musim buah itu, ia menjadi pilihan pembeli datang ke gerai berkenaan.
Dengan menawarkan harga berpatutan, bekas tentera itu mengakui pelanggan yang datang dari pelbagai daerah di negeri ini untuk membeli durian berkualiti di gerainya.
“Alhamdulillah tahun ini pokok durian menjadi dan rezeki bertambah tahun ini bagi saya sekeluarga.
“Saya menawarkan harga yang mampu dibeli oleh pelanggan,” katanya ketika ditemui di gerainya di Kampung Air Gatal di sini, semalam.
Dia berkata, selain durian dari kebunnya, ada juga pekebun lain yang menghantar hasil tanaman mereka ke gerainya untuk dijual kepada orang ramai.
Katanya, prinsip hidupnya dia tidak berkira sangat dengan memberikan harga yang mampu dibeli oleh pelanggan.
“Bila kita mudah dengan pelanggan, mereka akan datang lagi membeli buah di kedai saya ini.
“Alhamdulillah syukur rezeki saya sekeluarga tiap tahun dapat jual durian dan pelanggan yang datang dari pelbagai daerah, ” katanya.