KOTA BHARU | Semua Exco Kerajaan Negeri Kelantan sedia untuk dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan kes rasuah Air Kelantan Sendirian Berhad (AKSB) membabitkan projek bernilai lebih RM27 juta antara 2015 dan 2019.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, Exco bersedia memberi kerjasama sekiranya dipanggil untuk memberi keterangan.
Katanya, setakat ini, SPRM tidak memaklumkan apa-apa lagi dan kerajaan negeri juga tidak mahu mengganggu siasatan mereka.
“Kita serahkan kepada SPRM untuk membuat siasatan lanjut. Sehinga kini tidak ada Exco yang dipanggil dan kita difahamkan masalah yang berlaku membabitkan isu di peringkat pengurusan.
“Jika mana-mana Exco dipanggil, kita tiada masalah dan bersedia memberi kerjasama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Bakul Makanan di Pejabat Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Panchor, di sini, hari ini yang disampaikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary.
Mohd Amar berkata, isu berkenaan memberi imej buruk kepada kerajaan negeri.
Media sebelum ini melaporkan, SPRM menahan tiga lelaki termasuk seorang bekas pengurus besar AKSB berusia 60 tahun dan seorang pegawai AKSB yang berusia 39 tahun serta seorang pengurus projek sebuah syarikat berusia 43 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah yang membabitkan projek bernilai lebih RM27 juta antara 2015 dan 2019.