By Ismail Muhamad
TANAH MERAH | Pemilik kebun durian di sekitar daerah ini mengakui harga durian yang dijual ketika ini turun dengan menjunam.
Mokhtar Zakaria, 68, dari Kampung Air Kayan di sini, berkata, jualan durian kali ini menurun disebabkan kekangan pergerakan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 susulan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) akibat penularan wabak Covid 19.
Dia berkata, penjualan secara borong dengan harga lebih rendah terpaksa dilakukan bagi mengelakkan berlaku lambakan buah memandangkan hasil tanaman yang begitu menjadi kali ini.
Katanya, setiap hari dia menjual secara borong sebanyak 600 kilogram kepada pemborong yang datang sendiri ke rumahnya.
“Saya jual durian kepada pemborong yang datang ke rumah dengan harga RM4 sekilo, jauh lebih rendah berbanding tahun-tahun sebelum ini.
“Kalau ambil kira kos menyelenggara dan penjagaan hasil tanaman termasuk membasmi makhluk perosak yang tinggi, memang harga jualan tidak sepadan.
“Nak buat macam mana kalau tak jual murah, nanti berlaku lambakan buah atau kerosakan buah di kebun, ” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Air Kayan di sini, semalam.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lanas Jedok, Zulkifli Yunus berkata, pihaknya menganggarkan terdapat hampir 20,000 pemilik kebun bersaiz kecil dan sederhana di kawasan Tanah Merah, Jeli dan sebahagian Kuala Krai.
Beliau berkata, hasil pengeluaran yang tinggi ketika pelaksanaan PKP 3.0 atau SPP, menyebabkan harga durian yang dijual oleh pekebun di sini, menunjukkan penurunan berbanding tahun-tahun sebelumnya.
“Kita faham situasi dihadapi pekebun durian yang terpaksa menjual secara borong dengan harga lebih rendah kerana kekangan pergerakan akibat pelaksanaan PKP 3.0 atau total lockdown.
“Ada di kalangan pekebun yang mengadu kepada saya tentang keadaan itu dan kita harap harga bagi jualan durian masih seperti biasa kerana musim raja buah baru bermula, ” katanya.
Seorang pembeli dari bandar Kota Bharu, Azhar Mustapha, 46, mengakui sanggup datang dari jauh untuk mendapatkan durian yang banyak di kawasan ini.
Katanya, pembeli mempunyai pilihan terbaik bagi mendapatkan durian yang segar dan baru dari kebun pemilik buah berkenaan.
“Saya lihat tahun ini pengeluaran durian yang banyak terutama di kawasan Tanah Merah dan sebagai pembeli, kita boleh dapatkan harga bersesuaian dengan kualiti buah.
“Saya dapati durian kampung dijual dengan harga serendah RM3 atau RM4 sekilo dan ia memberi pilihan kepada saya membeli secara banyak kerana harga lebih murah,” katanya