PUTRAJAYA | Kerajaan Persekutuan telah menempah lebih 76.1 juta dos vaksin dalam usaha melawan pandemik Covid-19.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, daripada jumlah itu, 70 peratus (%) adalah Pfizer; 23.4% Sinovac; 10% Astrazaneca; 10.9% CanSino dan 10% daripada fasiliti COVAX.
Katanya, sehingga kini kerajaab telah menerima 20 juta dos dari keseluruhan jumlah vaksin yang ditempah.
“Dijangkakan kita akan menerima jumlah keseluruhan 30 juta dos pada akhir bulan ini, 40 juta dos pada Ogos, 53 juta dos pada September dan 58 juta dos pada Oktober.
“Jadual asalnya, 80% penduduk Malaysia akan menerima dos lengkap vaksin menjelang suku pertama 2022. Sasaran ini kemudiannya dipercepatkan ke Disember 2021,” katanya dalam satu kenyataan facebooknya.
Muhyiddin berkata, kini, dengan penemuan varian-varian baharu Covid-19 yang lebih ganas dan kes-kes positif meningkat dengan mendadak, sasaran program vaksinasi dipercepatkan lagi.
“100% populasi dewasa di Selangor dan Kuala Lumpur akan menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin pada 1 Ogos di bawah Operasi Lonjakan Kapasiti.
“Di Sarawak juga 100% populasi dewasa akan menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin pada akhir Ogos,” katanya.
Beliau berkata, hampir semua negeri akan mencatatkan kadar vaksinasi melebihi 50% pada akhir bulan Ogos.
Katanya, kadar vaksinasi melebihi 70% akan dicatatkan semua negeri pada September nanti.
“100% populasi dewasa di Malaysia akan menerima dos lengkap vaksin pada bulan Oktober 2021.
“Selain itu kita akan tingkatkan kapasiti untuk mencapai kadar suntikan 500,000 dos sehari,” katanya.