By Nor Shazleza Shahril
TUMPAT | Polis merampas 494 kilogram (kg) dadah jenis ganja yang bernilai lebih RM1.2 juta dalam serbuan di Kampung Lampor, Wakaf Bharu di sini, kelmarin.
Serbuan jam 9.50 malam itu, polis mengesan sebuah kenderaan jenis Honda CRV dalam keadaan mencurigakan di Kampung Lampor.
Timbalan Ketua Polis Kelantan Senior Asisten Komisioner Abdullah Muhammad Piah berkata, polis mengarahkan kenderaan itu berhenti, namun pemandu telah bertindak melarikan diri.
“Polis mengejar kenderaan itu, sebelum kenderaan suspek terbabas ke dalam tali air.
“Lelaki itu telah keluar dari kenderaan sebelum naik ke jalan dan menahan sebuah motosikal yang lalu di lokasi serta terus membonceng.
“Penunggang motosikal telah berjaya ditahan namun suspek berjaya melarikan diri ke dalam semak berhampiran,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut dalam kenderaan telah menemukan 12 bungkusan plastik hitam yang mengandungi 494 kilogram bungkusan plastik hitam berisi ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja.
Katanya, nilai pasaran semasa dadah yang dirampas sebanyak RM1,235,000 dan pihak polis percaya ganja yang dibawa masuk dari negara jiran melalui pangkalan haram untuk pasaran sekitar Lembah Klang dan jika terlepas ia boleh digunakan untuk 988,000 penagih.
“Kes disiasat di bawah seksyen 39B ADB 1952.
“Siasatan awal juga percaya suspek yang melarikan diri itu adalah ‘transporter’ dan usaha mengesannya sedang dilakukan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes dan sebarang aktiviti dadah boleh disalurkan ditalian Hotline JSJN 012-2087222,” katanya.