KAJANG | Polis Kajang berjaya menangkap seorang pengedar dadah di rumahnya di Kampung Lubuk Kelubi Batu 19, Hulu Langat, semalam.
Suspek berusia 44 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota Balai Polis Batu 18 pada 5.15 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, tangkapan dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat berkaitan aktiviti penagihan dadah.
“Hasil pemeriksaan dilakukan telah menemui sejumlah dadah jenis syabu dan heroin didalam simpanan suspek dipercayai untuk diedarkan kepada penagih dadah.
“Tangkapan dan rampasan dadah terus dilaksanakan dan suspek dibawa ke Balai Polis Batu 18 untuk tindakan dan siasatan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Mohd Zaid berkata, hasil saringan ujian air kencing yang dilakukan mendapati suspek positif dadah.
“Suspek juga mempunyai 10 rekod lampau berkait dadah dan kes disiasat mengikut seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Polis Daerah Kajang menasihatkan orang ramai, sekiranya terdapat sebarang maklumat jenayah atau kemalangan di Daerah ini boleh disalurkan kepada pihak PDRM, IPD Kajang khususnya serta berikan kerjasama semasa pihak Polis menjalankan tugas,” katanya.