TUARAN | Tahun kedua menyambut Aidiladha dalam menghadapi Covid-19, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mahu penduduk negeri itu mengabil iktibar kisah nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail.
Beliau berkata, iktibar sejarah itu perlu diambil serta dihayati dalam menghadapi kehidupan yang semakin mencabar.
Katanya, Aidiladha adalah hari kebesaran Islam yang juga disambut di seluruh dunia dengan penuh keinsafan dan pengertian besar.
“Aidiladha pada kali ini mengingatkan kita erti kesabaran. Dalam keadaan dan cabaran yang sedang dihadapi ketika ini, situasi sebegini sebenarnya menuntut kita agar sentiasa bersabar, bersyukur, bermuhasabah diri, berlapang dada dan menempuh cabaran ini secara bersama.
“la juga adalah satu pengorbanan besar setiap individu, selaras dengan tuntutan dan ajaran Islam. Raikanlah Aidiladha ini bersama keluarga di rumah masing-masing dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya dalam Perutusan Hari Raya Aidiladha, hari ini.
Hajiji berkata, umat Islam juga diminta untuk mematuhi SOP ibadah korban yang telah ditetapkan.
Beliau bersama keluarganya turut merakamkan ucapan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua umat Islam di negeri itu.
Terdahulu, Hajiji menyampaikan 108 ekor lembu korban sempena Aidiladha yang akan disambut pada Selasa nanti.
Sumbangan itu diserahkan kepada 50 wakil masjid dan surau sekitar Tuaran.
Penyerahan itu turut diberikan kepada pasukan keselamatan yag bertugas di negeri itu.