KOTA BHARU | Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) tidak membabitkan pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) kerana tidak mahu membantutkan perancangan yang bakal dilaksanakan terhadap Tabung Haji (TH).
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, PN
belum melaksanakan perancangan terhadap TH.
“Kita belum melaksanakan pelan yang kita sediakan dan kita tidak mahu dengan adanya RCI akan membantutkan usaha untuk menambah baik TH.
“Kita juga mahu meningkatkan keyakinan pendeposit kepada TH dan setakat ini tidak timbul sebarang isu yang mencurigakan masyarakat khususnya 11 juta pendeposit.
“RCI juga akan dilaksanakan secara telus dan jujur,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan bakul makanan di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Panchor, di sini, hari ini. Yang turut hadir, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
Mengulas lanjut Ahmad Marzuk berkata, berhubung terma RCI, ianya masih terlalu awal dan perkara itu diserahkan kepada jawatankuasa yang terbabit.
Katanya, dengan persetujuan Perdana Menteri, RCI Tabung Haji akan dilaksanakan dalam tempoh 2014 hingga 2020 iaitu termasuk hampir dua tahun pemerintahan Pakatan Harapan (PH).