KOTA BHARU | Kesemua Ahli Parlimen perlu menjalani ujian calitan Covid-19 pada Jumaat ini sebelum memulakan Persidangan Khas Parlimen pada Isnin ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, semua 220 Ahli Parlimen kena buat ujian calitan.
“Kalau mereka hendak buat ujian itu, parlimen akan sediakan kemudahan itu. Kita sediakan daripada pagi sampai semua sekali (Ahli Parlimen) habis buat ujian calitan. Jika mereka hendak buat di luar, kita akan terima,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Pengagihan Bakul Makanan menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) di Pusat Khidmat Ahli Parlimen di sini, hari ini.
Takiyuddin berkata, Persidangan Khas Parlimen itu akan diadakan pada 26, 27, 28 dan 29 Julai serta 2 Ogos ini.