Alor Setar | Polis Kedah mengingatkan rakyat negeri itu bahawa larangan merentas negeri atau daerah dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara Fasa-1 yang masih lagi berkuatkuasa sehingga hari ini.
Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd Roze Shaari berkata, peringatan itu dikeluarkan berikutan pertambahan permohonan rentas negeri dan daerah di negeri tersebut.
“Banyak permohonan berkaitan rentas negeri atau daerah yang diterima dalam tempoh terdekat atas pelbagai alasan dan tujuan.
“Kami ingin menasihati orang ramai agar tidak menggunakan alasan palsu untuk pulang ke kampung bagi merayakan Aidiladha pada 20 Julai nanti,” kataya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Roze berkata, pihaknya akan membuat pemantauan terhadap mereka yang mengambil kesempatan atas kebenaran pergerakkan yang dikeluarkan oleh pihak polis.
Katanya, tindakan tegas akan diambil termasuk mengenakan kompaun kepada mereka.
“Orang ramai yang mengetahui sebarang aktiviti rentas negeri daerah bagi tujuan menyambut hari raya di kampung halaman atau melancong di dalam negeri boleh memaklumkan terus kepada Bilik Kawalan Covid-19 Kontinjen Kedah di talian 04-7741275 atau terus kepada bilik kawalan daerah yang berdekatan,” katanya.