By Ismail Muhamad
TANAH MERAH | Bermula sebagai hobi, tiga beradik dari Kampung Bendang Besar Jedok di sini, kini menjadi penternak arnab pedaging dan hiasan yang berjaya di kampung itu.
Afnan Hakimi Ismail, 24, bergandingan dengan abangnya, Ahmad Khuzaai Ismail,27, dan adiknya, Mohd Yuris Ismail, 22, kini boleh dibanggakan kerana mereka sudah mampu membuktikan kejayaan sebagai penternak muda di kampung itu.
Menurut Afnan Hakimi, mereka bertiga memulakan projek ternakan arnab pada November tahun lalu dengan memasukkan induk sebanyak 60 ekor arnab pedaging dan hiasan dari baka luar negara serta tempatan.
Katanya, dengan modal awal sebanyak RM25,000, dia menyediakan peralatan seperti jaring selain penyediaan petak bilik bagi menempatkan induk arnab pedaging dan hiasan di kawasan belakang rumah mereka.
“Saya tidak sangka dengan permulaan memasukkan induk 60 ekor arnab pedaging dan hiasan, ia bertambah kepada 400 ekor arnab sekarang.
“Peringkat awal pasarannya sedikit perlahan tetapi lama kelamaan permintaan terhadap arnab pedaging dan hiasan mendapat sambutan yang baik,” katanya ketika ditemui di Ifdakay Jedok Farm milik tiga beradik itu di Kampung Bendang Besar, di sini, hari ini.
Menurut Afnan Hakimi, antara jenis arnab pedaging yang diternaknya seperti New Zealand White, New Zealand Red, New Zealand Blue dan
Chincilla.
Dia berkata, bagi arnab hiasan pula seperti Minirex, Standart Rex, Netherland Drawt dan Holland Lop.
Katanya, daging arnab yang manis dan berkhasiat mendorong permintaan yang tinggi di pasaran negara ini.
“Peringkat awal pasaran lebih tertumpu kepada permintaan di Kampung Jedok dan sekitar daerah ini tetapi kini pelanggannya semakin meluas di negeri ini termasuk di luar Kelantan.
“Arnab pedaging yang dijual dengan harga RM30 atau RM35 satu kilogram. Biasanya arnab yang dijual berusia 100 hari kerana dagingnya lembut dan manis.
“Harga bagi arnab hiasan pula adalah berbeza mengikut saiz umur serta kualiti bakanya sehingga mampu mencecah ribuan ringgit,” katanya.
Dia berkata, seekor arnab pedaging betina mampu melahirkan antara empat hingga 14 ekor anak manakala arnab hiasan pula antara dua hingga 10 ekor anak dan kadar kelahiran antara enam hingga lapan kali setahun.
“Arnab yang kami ternak adalah baka terbaik dan berumur antara dua bulan hingga dua tahun. Permintan arnab pedaging dan hiasan terus mendapat pasaran yang baik di negara ini, ” katanya.
Katanya, bagi sambutan Aidiladha ini, dia sudah menerima tempahan daripada 100 pelanggan untuk membeli arnab pedaging.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lanas Jedok, Zulkifli Yunus, berkata, terdapat seramai 100 penternak arnab di kawasan berkenaan, kebanyakannya membabitkan penyertaan golongan muda dan belia.
Katanya, pihaknya memberi sokongan kepada usaha anak muda di kawasan PPK Lanas Jedok termasuk membantu dari segi teknikal dan khidmat nasihat serta jaringan pemasaran arnab termasuk menggunakan kemudahan jualan secara online.
Beliau turut memuji gadingan tiga beradik di kampung itu kerana berjaya menunjukkan contoh terbaik dalam menjayakan penternakan arnab yang mempunyai potensi besar dan mampu menjana pendapatan lumayan sekiranya diusahakan secara betul.
Sementara itu, seorang usahawan dari bandar Kota Bharu, Azhar Mustapha, 46, mengakui daging arnab enak dimakan kerana rasanya manis berbanding ayam serta berkhasiat dari segi meningkatkan kesihatan diri.
Katanya, dia sanggup datang dari jauh untuk membeli arnab pedaging bagi keperluan untuk sambutan Aidiladha ini.
“Daging arnab boleh dijadikan sate atau diperap dan dibakar selain dimasak kerutuk, paprik dan tomyam kerana ia enak dimakan dan rasanya manis dan lembut isinya,” katanya.