KOTA BHARU | Tiga kluster COVID-19 yang direkodkan di Kelantan semalam dan salah satu daripadanya dicetuskan oleh perantau yang pulang ke kampung untuk menziarahi keluarga.
Kluster Kampung Bujuk, dekat Pasir Mas dicetuskan oleh perantau lelaki berusia 39 tahun.
Kluster berkenaan yang membabitkan Kampung Bujuk dan Petaling, Selangor.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin berkata, Kluster Kampung Bujuk, Tok Uban merekodkan sebanyak 14 kes.
Katanya, kluster berkenaan membabitkan komuniti di sebuah kawasan perumahan yang terletak di Kampung Bujuk.
“Kes indeks bagi kluster ini ialah lelaki berusia 39 tahun yang dilaporkan positif Covid-19 pada 12 Julai lalu hasil saringan individu bergejala.
“Kes mula bergejala pada 1 Julai dan pulang ke Kelantan dari Selangor pada 2 Julai hingga 5 Julai untuk menziarahi keluarga.
“Hasil saringan 17 individu mendapati 14 daripadanya adalah positif Covid-19 termasuk satu kes baharu semalam,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya sayangi keluarga dan patuhi prosedur operasi standard (SOP) walaupun sudah lengkap dua dos vaksin.