KOTA BHARU | Seorang buruh didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini, terhadap pertuduhan mencabul seorang wanita, Isnin minggu lalu.
Tertuduh, Mazlan Abdul Rahman, 36, mengaku tidak bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Kamarul Hasyime Rosli.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menggunakan kekerasan jenayah kepada seorang wanita berusia 53 tahun dengan niat mencabul kehormatan di dalam hutan Kampung Pauh Jambu Badang di sini, jam 3.30 petang, pada 12 Julai 2021.
Kes itu didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Sharil Ramli menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguam bela daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nurul Samhana Aidenan yang mewakili tertuduh memohon supaya mahkamah membenarkan tertuduh dijamin dengan jumlah paling minimum.
Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.