KUALA LUMPUR | Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) memandang berat tentang beberapa dakwaan mengenai suntikan vaksin COVID-19 kosong di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang menjadi tular di laman media sosial.
Sehubungan itu, dalam satu kenyataan hari ini, CITF kini sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menjalankan siasatan tentang perkara ini supaya kejadian sama tidak berlaku lagi.
“Kes pertama telah berlaku pada 17 Julai 2021 di PPV pandu lalu di Kem Lapangan Terbang Sungai Petani, Kedah di mana PPV tersebut dikhaskan kepada anggota ATM dan ahli keluarga mereka sahaja yang dilaksanakan oleh petugas daripada Rumah Sakit Angkatan Tentera (RSAT) di kem berkenaan.
“Satu siasatan sudah dijalankan oleh ATM mengenai kejadian tersebut di mana individu yang terlibat telah dipanggil untuk memberi penjelasan. Tindakan tatatertib telah diambil ke atas petugas vaksinasi tersebut.
“Terdapat dua lagi dakwaan mengenai suntikan vaksin kosong termasuk di PPV Malaysia International
Trade and Exhibition Centre (MITEC), yang didakwa berlaku pada 17 Julai 2021 dan
orang awam yang terlibat telah membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan dakwaan mengenai suntikan palsu ini pada 18 Julai 2021 di PPV Bangi Avenue Convention Centre (BACC) dan laporan polis telah dibuat oleh penyedia perkhidmatan kesihatan (HCO) terbabit.
“Pihak polis kini sedang menjalankan siasatan. Sebarang perkembangan mengenai perkara ini akan dimaklumkan oleh pihak berkuasa yang berkenaan.
“Sekiranya didapati bersalah, pihak CITF tidak akan teragak-agak untuk menamatkan perkhidmatan petugas yang terlibat dan mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang berkenaan perkara ini.
“Seperti mana prosedur operasi standard (SOP), setiap petugas vaksinasi perlu menunjukkan picagari yang berisi vaksin kepada penerima vaksin sebelum suntikan dilakukan,” kata kenyataan itu.
Orang ramai juga disarankan untuk melihat picagari tersebut sebelum dan selepas proses vaksinasi bagi menambah keyakinan bahawa dos dan suntikan vaksin telah diberikan seperti yang sepatutnya.
Tamat