KOTA BHARU | Mencuba nasib balik kampung. Itu dilakukan oleh 55 kenderaan yang diarah berpatah balik kerana tidak mempunyai surat kebenaran merentas negeri daripada pihak polis.
Kenderaan yang diarah berpatah balik ketika mencuba nasib merentas negeri untuk pulang menyambut Hari Raya Aidiladha.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Muhammad Piah berkata, 55 kenderaan itu diminta berpatah balik ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) di sempadan negeri iaitu Gua Musang, Pasir Puteh dan Jeli.
“Mereka tidak mempunyai surat kebenaran merentas negeri datang dari Pahang, Perak dan Terengganu.
“Ekoran tindakan pemandu kenderaan ini, kita minta supaya mereka berpatah balik bagi membendung penularan COVID-19 di Kelantan.
“Kita dapati mereka mencuba nasib untuk pulang ke Kelantan walaupun tahu peluang untuk rentas negeri adalah sukar kerana tidak mempunyai surat kebenaran polis,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Katanya, polis arah berpatah balik untuk memberi pengajaran kepada semua pihak supaya tidak pulang ke kampung memandangkan kes COVID-19 masih tinggi.
Menurutnya, polis berharap orang ramai patuh prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.