KOTA BHARU | Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri Kelantan dan Terengganu berjaya mematahkan cubaan menyeludupkan 5,474 kilogram minyak masak paket bersubsidi ke negara jiran, Thailand.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri, Azanizam Affendi Juri berkata, cubaan itu berjaya dipatahkan hasil operasi bersepadu bersama Pasukan Polis Marin, Wilayah Tiga Pengkalan Kubor dan Tok Bali telah dijalankan bermula 17 hingga 19 Julai.
Katanya, bertindak atas maklumat, pasukan operasi telah mengesan beberapa buah lori yang membawa minyak masak dari Lembah Klang menghala ke negeri Kelantan.
” Satu tindakan kes dihasilkan bertempat di Jelawat, Bachok. Pasukan serbuan telah menahan sebuah lori hasil dari maklumat risikan dan mendapati lori tersebut telah selesai proses memindahkan minyak masak ke dalam dua buah lori lain.
“Susulan kes tersebut, dua tindakan kes turut dihasilkan di Sekatan Jalan Raya di Jambatan Sultan Yahya Petra hasil pemeriksaan ke atas dua buah lori dan telah menjumpai minyak masak paket 1 kg bersubsidi dengan jumlah anggaran sebanyak 5,474 kilogram bersama dua orang pemandu lori dan seorang kelindan. Suspek lelaki berumur 20-an telah ditahan bagi siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.
Azanizam Affendi berkata, siasatan awal mendapati mereka mengaku dibayar upah untuk membawa minyak masak ke Pengkalan Kubor sebelum diambil oleh individu lain untuk dibawa ke pengkalan haram.
“Berhubungan itu, pada 19 Julai satu pasukan khas telah ditubuhkan dengan kerjasama Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Terengganu dan telah mengambil tindakan kes ke atas satu premis bertempat di Kuala Terengganu, Terengganu yang disyaki terlibat dalam transaksi pembelian dari kilang pembungkus di Lembah Klang, Selangor.
“Modus operandi kali ini adalah dengan mendapatkan bekalan minyak masak dari luar Negeri Kelantan seterusnya dibawa ke tempat transit sementara bagi mengaburi pihak berkuasa dan dibawa ke sempadan Negara sebelum diseludup ke negara jiran,” katanya.
Beliau berkata, nilai rampasan minyak masak yang disita anggaran RM 13,685, manakala dua buah lori satu tan dengan anggaran masing-masing RM 50,000.00 setiap sebuah dan sebuah lori tiga tan anggaran RM 100,000.00 keseluruhan nilai rampasan adalah anggaran sebanyak RM 213,685
Katanya, empat tindakan kes ini disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
“KPDNHEP Negeri Kelantan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang menjalankan aktiviti yang tidak bermoral ini dan tindakan tegas akan dikenakan.
“Kerjasama Operasi Bersepadu ini sentiasa dijalankan bersama Pasukan Polis Marin dan semua Agensi Penguatkuasaan Sempadan dari masa ke semasa bagi membanteras ketirisan subsidi yang dibekalkan kerajaan,” katanya.