KUALA LUMPUR | Pendakwah terkenal, Ebit Lew membantu seorang warga emas lelaki berusia 75 tahun yang tidur dalam kereta sejak dua bulan lalu.
Ebit menerusi laman Facebooknya memaklumkan, lelaki berkenaan tinggal bawah jejantas dekat Pasar Seni, Kuala Lumpur.
“Terkejut, sebak, kasihan sangat dengar seorang pakcik 75 tahun tidur dalam kereta dah dua bulan di bawah jejantas dekat central market.
“Baik sangat orangnya. Jaga kucing dalam kereta. Sedih tengok keadaan pak cik ni. Tiada sesiapa dan hidupnya jatuh ditimpa tangga,” katanya.
Ebit memaklumkan, beliau menyewa sebuah rumah untuk pak cik itu memandangkan raya haji esok.
Katanya, pak cik itu terus menangis kerana tak sangka boleh dapat rumah.
“Semoga pak cik sentiasa sihat dan dimudahkan segala urusan. Semoga menjadi asbab kebaikan,” katanya.