ISTANBUL | Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan hari ini membidas keputusan mahkamah Kesatuan Eropah (EU) yang membenarkan majikan dalam beberapa kes melarang kakitangan memakai tudung di tempat kerja.
Lapor AFP, Erdogan, seorang Muslim yang taat, yang memimpin sebuah parti yang bertunjangkan Islam, adalah penyokong umat Islam di seluruh dunia, sering mempertahankan kepercayaan menentang Islamofobia.
Mahkamah Kehakiman Eropah (ECJ) Khamis lalu memutuskan bahawa larangan simbol keagamaan seperti tudung ‘mungkin dibenarkan atas keperluan majikan untuk menunjukkan imej yang neutral terhadap pelanggan atau untuk mengelakkan perselisihan sosial’.
Erdogan berkata, peraturan itu menghalang kebebasan beragama. “Mahkamah harus mengubah namanya. Ia tidak menunjukkan hubungan dengan mahkamah pengadilan. Untuk menjadi adil, ia harus terlebih dahulu mengetahui apa kebebasan beragama,” kata Erdogan.
“Tidak boleh ada pengadilan yang tidak memahami kebebasan beragama,” tambahnya dalam sidang media di Istanbul.
Turki mempunyai sejarah kontroversi dan sensitif dengan tudung yang dikenali sebagai jilbab.
Pada tahun 2013, ketika Erdogan menjadi perdana menteri, Turki menarik balik larangan lama mengenakan jilbab di institusi negara.
Tiga tahun kemudian, pemerintah membenarkan polis wanita memakai tudung di bawah topi atau baret rasmi mereka.
Kementerian luar Turki semalam memberi amaran bahawa keputusan mahkamah tertinggi EU adalah ‘berbahaya dalam hal mendorong kebencian terhadap Islam’.
Hubungan antara Ankara dan Brussels telah tegang selama bertahun-tahun, dengan isu-isu yang menyebabkan ketegangan termasuk kegagalan untuk memulakan semula rundingan damai di pulau Cyprus yang terbahagi dan hak asasi manusia di Turki.