MANILA | Institut Volkanologi dan Seismologi Filipina (PHIVOLCS) merekodkan 86 gegaran dari Gunung Berapi Taal dalam tempoh 24 jam lalu, menandakan ia semakin aktif.
Lapor Agensi, daripada jumlah gegaran yang direkodkan itu, 84 berlangsung antara satu hingga 34 minit, satu disifatkan gempa gunung berapi berfrekuensi rendah dan yang lain adalah gempa hibrid serta gegaran tahap rendah yang berterusan sejak 7 Julai lalu.
Selain gegaran, gunung berapi itu turut melepaskan gas sulfur dioksida (SO2) tahap tinggi dan kepulan wap yang mencapai setinggi 2,100 meter (m) sebelum berlegar ke arah timur laut.
Menurut data PHIVOLCS, purata pelepasan SO2 pada 17 Julai lalu ialah sebanyak 5,466 tan.Gunung Berapi Taal sekarang masih merekodkan pergolakan lahar atau Tahap Waspada 3, bermaksud lahar yang dimuntahkan dari kawah utama gunung berapi itu boleh mencetuskan letupan.
Pada 1 Julai lalu, tahap amaran ditingkatkan selepas gunung berapi itu mengalami letusan phreatomagmatik.
Sehubungan itu, PHIVOLCS memberi amaran bahawa Gunung Berapi Taal kini diklasifikasikan sebagai zon berbahaya kekal yang bermaksud sebarang kemasukan ke pulau itu termasuk pekan Agoncillo dan Laurel, dilarang sama sekali.
Ini kerana risiko bahaya berpunca daripada kepadatan serpihan batu yang diterjah keluar oleh letupan gunung berapi dan kemungkinan berlaku tsunami sekiranya berlaku letusan yang cukup kuat.
Sebarang aktiviti dalam kawasan Tasik Tall juga dilarang sehingga keadaan gunung berapi kembali ‘tenang’, kata PHILVOLCS semalam.
“Masyarakat di sekitar pesisir Tasik Taal dinasihatkan supaya kekal berwaspada, mengambil tindakan pencegahan terhadap segala kemungkinan.
“Ini termasuk pencemaran abu dan kabut yang tersebar menerusi udara serta bersedia sedia dengan tenang untuk berpindah sekiranya keadaan makin buruk,” katanya.