KUALA LUMPUR | Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menafikan terdapat jangkitan Covid-19 yang tidak terkawal di Dewan Bedah seperti mesej yang ditularkan melalui media sosial.
Dalam satu kenyataan hari ini, situasi di Dewan Bedah HCTM adalah terkawal dan pengurusan kakitangan adalah mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) terkini yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menerusi mesej yang tular itu menyatakan bahawa jangkitan Covid-19 yang tidak terkawal di Dewan Bedah berpunca daripada ketidakpatuhan terhadap (SOP) terutamanya melibatkan pemakaian Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE).
“Pematuhan terhadap SOP oleh semua kakitangan terutamanya petugas kesihatan sentiasa diamalkan sama ada di tempat kerja mahupun ketika berada di tempat lain.
“HCTM sangat prihatin terhadap peningkatan kes COVID-19 di kalangan petugas kesihatan ini dan akan sentiasa memantau perkembangan jangkitan kes COVID-19 dalam kalangan petugas kesihatan dari semasa ke semasa.
“Sehubungan dengan itu, penularan mesej melalui media sosial adalah tiada berkaitan dengan HCTM,” menurut kenyataan itu.
Tamat