KUALA LUMPUR | Kuasa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) terhadap Tabung Haji (TH) kekal, selaras dengan peruntukan Seksyen 10 Akta Tabung Haji 1995.
Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, kuasa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
kekal terutamanya dari segi operasi dan penyelarasan jemaah haji
“Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) juga akan terus kekal sebagai menteri bertanggungjawab bagi TH memastikan hak umat Islam dan bakal jemaah haji terpelihara.
“Pengawalseliaan BNM terhadap TH tidak akan menghakis hak Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan umat Islam terhadap TH.
“Ini kerana setiap institusi kewangan yang dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia (BNM) mempunyai model pengurusan berbeza dan boleh meneruskan punca kuasa sedia ada, seperti Bank Rakyat yang masih di bawah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi walaupun dikawal selia oleh BNM,” katanya menerusi satu kenyataan di sini.
Beliau berharap semua umat Islam boleh memberi kepercayaan kepada beliau, Menteri Kewangan serta kerajaan dalam menambah baik ke atas TH.
Katanya, TH mempunyai signifikan yang besar terhadap umat Islam.
“Perkara utama adalah untuk memperkasa TH serta berada dalam situasi tadbir urus yang diyakini tanpa sebarang keraguan.
“Kami akan memastikan hak umat Islam akan kekal terpelihara melalui penambahbaikan operasi TH,” katanya.