KUALA LUMPUR | Mesyuarat Khas Dewan Negara Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 yang akan berlangsung dari 3 hingga 5 Ogos nanti bersifat persidangan khas yang lebih memberi tumpuan kepada penerangan dan tidak timbul isu-isu usul yang di luar dugaan.
Yang di-Pertua Dewan Negara, Senator Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, perkara itu dimaklum oleh Perdana Menteri kepadanya selaku Ketua Majlis.
Katanya, Mesyuarat Khas tersebut mustahak diadakan kerana ia adalah bagi faedah orang ramai dan perlu diadakan lebih awal daripada tarikh yang ditetapkan.
“Pemakluman Tan Sri Muhyiddin Yassin tersebut adalah selaras dengan peruntukan Peraturan Mesyuarat 10 (3) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara.
“Urusan-urusan yang telah ditetapkan oleh Perdana Menteri bagi maksud Mesyuarat Khas adalah membentangkan Ordinan-ordinan Darurat yang dibuat di bawah Proklamasi Darurat itu mengikut Perkara 150(3), Perlembagaan Persekutuan di hadapan kedua- dua Majlis Parlimen (laid before both Houses of Parliament).
“Membentangkan Proklamasi Darurat bertarikh 12 Disember 2020 mengenai Pilihan Raya Parlimen P.054 Gerik, Perak dan mengenai Pilihan Raya Negeri N.66 Bugaya, Sabah serta Ordinan-ordinan Darurat yang dibuat di bawah Proklamasi-Proklamasi Darurat itu (laid before both Houses of Parliament).
“Yan terakhir, penerangan daripada Menteri-Menteri di bawah Peraturan Mesyuarat 13(1)(0), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara berhubung Pelan Pemulihan Negara; Program Vaksinasi; Pelaksanaan Darurat dan pakej-pakej bantuan ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Rais berkata, sesi Mesyuarat Khas Dewan Negara yang akan berlangsung nanti adalah di luar kuat kuasa tempoh darurat.
Katanya, sepanjang Mesyuarat Khas ini juga, Peraturan Mesyuarat biasa akan dikuat kuasakan dalam menjalankan prosedur persidangan.
“Sebarang persoalan, penjelasan atau hak penerangan yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Negara akan saya beri pertimbangan mengikut kerelevanannya.
“Bagi memastikan Mesyuarat Khas Dewan Negara ini berlangsung dalam keadaan selamat, segala Prosedur Operasi Standard (SOP) ketat anti Covid-19 yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan dikuat kuasakan sepanjang masa.
“Sehubungan itu, Setiausaha Dewan Negara akan menyusul dengan mengeluarkan Pemberitahu berkenaan Mesyuarat Khas tersebut kepada semua Ahli Dewan Negara,” katanya.