KUALA LUMPUR | Polis tidak melakukan siasatan terhadap kenyataan penyanyi rap, Caprice yang mempersoalkan tindakan seorang pendakwah bebas Ustaz Ebit Lew (UEL) ketika misi kemanusiaan di Gaza, Palestin.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM) Komisioner Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, siasatan tidak dibuat ekoran tiada laporan diterima pihaknya.
“Kenyataan Caprice atau nama sebenar Ariz Ramli mengenai UEL beberapa hari ini di media sosial di kesan hangat diperkatakan.
“Setakat ini didapati tiada laporan diterima dan tiada kertas siasatan dibuka mengenai perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, walau bagaimanapun orang awam adalah dinasihatkan untuk tidak menyebar atau membuat kenyataan yang berbaur fitnah atau mengaibkan seseorang kerana a merupakan satu kesalahan.
“Kes boleh disiasat di mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan (KK) fitnah, Seksyen 504 KK dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan; Seksyen 505 KK kenyataan yang boleh mendatangkan khianat awam dan seksyen 233(3) akta komunikasi dan multimedia malaysia penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
“Justeru, pihak polis menasihati orang ramai agar tidak mensensasikan isu ini dan tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil jika mendapati wujud pelanggaran undang-undang sebagaimana yang dinyatakan,” katanya.
Sejak beberapa hari lalu, nama Caprice menjadi bualan hangat netizen selepas dia mendedahkan situasi yang berlaku di Gaza.
Malah, dia turut memaklumkan UEL menyekatnya di Instagram serta memberi bayangan bahawa pendakwah itu antara punca dia masih tidak dibenarkan memasuki Gaza sehingga kini.
Terdahulu, Caprice berkongsi dia pergi seorang diri ke Mesir untuk melaksanakan misi kemanusiaan di Gaza yang sudah lama diimpikannya.