CYBERJAYA | Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan mengadakan satu siasatan awam bagi mengkaji semula ‘Standard Mandatori’ untuk Pancaran Medan Elektromagnet (EMF) dari Infrastruktur Komunikasi Radio.
Dalam satu kenyataan hari ini, siasatan penentuan nombor satu tahun 2010 itu mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 bermula dari hari ini sehingga 17 September depan.
“Kajian semula ke atas Standard Mandatori untuk EMF ini adalah penting sejajar dengan kemajuan teknologi komunikasi seperti 5G.
“Ia juga memberi jaminan kepada orang awam bahawa pancaran frekuensi radio EMF dari infrastruktur komunikasi radio di dalam negara adalah selamat serta dikawal selia secara berkesan dan efisien.
“Semakan semula ini antara lain akan meliputi proses kemas kini mengenai had pendedahan EMF berpandukan kepada International Commission on Non-Ionising Radiation Protection (ICNIRP) Guidelines terkini yang diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” menurut kenyataan itu lagi.
Sehubungan itu, SKMM ingin menjemput orang awam untuk terlibat sama dalam siasatan awam ini dengan melakukan penyerahan secara bertulis.
Penyerahan secara bertulis, dalam salinan hardcopy dan elektronik perlulah diserahkan kepada pihak Suruhanjaya selewat-lewatnya menjelang pukul 12.00 tengah hari, 17 September ini.
“Semua penyerahan bertulis yang dihantar dalam tempoh siasatan awam akan diberi pertimbangan sewajarnya oleh SKMM dan laporan berkenaan harus diterbitkan dalam tempoh 30 hari selepas berakhirnya siasatan berkenaan.
“Dokumen Siasatan Awam tersebut boleh dilayari di pautan: https://www.mcmc.gov.my/skmmgovmy/media/General/pdf/PI_Mandatory_Standards_EMF-2021.pdf,” kata kenyataan itu.
Tamat