KOTA BHARU | Ulama di bawah Dakwah Halaqat Kota Bharu mengambil inisiatif mewujudkan bakul prihatin bagi membantu guru-guru al-Quran di kawasan Parlimen Kota Bharu yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
Pengelola Dakwah Halaqat Kota Bharu Azahari Abdul Rahman berkata, pihaknya mengagih 90 bakul prihatin kepada 30 guru al-Quran di setiap Dun iaitu Dun Tanjung Mas, Dun Kota Lama dan Bunut Payung.
“Insya-Allah program ini akan diteruskan dari semasa ke semasa.
“Kehidupan manusia tak sama, ada yang senang dan ada yang susah. Walau bagaimanapun kita perlu mengambil tahu tentang kehidupan mereka,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, kunjungan ke rumah dapat melihat sendiri keadaan rumah tangga guru-guru al-Quran, khususnya ketika menghadapi saat mencabar suasana pandemik COVID-19.
Beliau berkata, wabak COVID-19 mengubah keadaan sosio ekonomi masyarakat di mana ramai yang hilang pekerjaan, perniagaan rugi dan pelbagai lagi yang dihadapi penduduk terutama golongan B40.
“Punca rezeki telah tiada, kehidupan menjadi sempit, setengahnya pula ditimpa penyakit Covid 19 dan meninggal dunia. Bayangkan kesedihan ini berlaku dalam kalangan ahli keluarga kita.
“Semoga program kebajikan ini menjadi amal jariah ini untuk bekalan akhirat nanti,” katanya.