by Nor Shazleza Shahril
PASIR MAS | Usia bukan penghalang bagi seorang lelaki berbasikal sambil menyampaikan mesej supaya orang ramai menjaga prosedur operasi standard (SOP) di sekitar bandar Pasir Mas.
Malah, basikalnya juga diubah suai dan lengkap dengan sistem penbesar suara.
Sariman Yaacob, 55, berkata, dia mengubah suai basikal terpakai ini dengan mengunakan kreativiti sendiri untuk kegunaanya mengelilingi bandar dan kampung di sekitar.
Tujuannya bagi memberi nasihat dan kesedaran kepada orang ramai mengenai kepentingan mematuhi SOP bagi mengelak daripada penularan jangkitan wabak Covid-19 terutamanya di daerah ini.
“Basikal ini sebenarnya projek kecil saya sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP), memandangkan kerja saya sebagai DJ di majlis perkahwinan agak berkurangan. Malah, semuanya saya lakukan sendiri termasuk memasang motor elektrik agar basikal boleh dibawa tanpa dikayuh.
“Malah ia turut dilengkapi pembesar suara, lampu isyarat, kipas angin, payung, serta Android untuk saya membuat pemilihan lagu yang akan dipasang sepanjang kayuhan yang mana ia menarik perhatian ramai orang.
“Tidak kurang juga yang akan meminta saya berhenti seketika, agar mereka boleh bergambar atau mengambil video kerana menganggap tindakan saya suatu yang jarang dilihat,” katanya yang juga bapa tunggal kepada enam cahaya mata berusia 14 sehingga 24 tahun.
Sariman yang berasal dari Kampung Kubang Panjang, di sini, mengakui menghabiskan lebih RM2,000 untuk menyiapkan basikal terpakai berkenaan yang pada awalnya dibeli pada harga RM350 sahaja.
Dia mempunyai kemahiran bertukang dan pendawaian, mengambil masa selama sebulan untuk menghasilkan basikal itu walaupun beberapa kali gagal ketika proses pemasangan sehingga lah kesemuanya siap sempurna.
“Selain dapat memberi manfaat kepada kesihatan dengan mengayuh basikal, dalam masa sama saya dapat menyampai maklumat, informasi serta pesanan berkaitan wabak COVID-19 terutama kepada masyarakat di Pasir Mas.
“Tiada niat saya untuk mencari publisiti tetapi mahu mendekati masyarakat dengan cara tersendiri selain membuka mata anak muda untuk turut sama menggunakan kemahiran yang ada dengan mencipta inovasi baru yang boleh memberi manfaat.
“Malah, ada sahaja yang minta untuk membeli basikal ini, namun saya anggap ia hanya gurauan kerana apa yang saya cipta ini untuk kegunaan sendiri sahaja,” katanya ketika ditemui di bandar Pasir Mas, di sini.
Tambahnya, dia berharap usahanya melalui kayuhan basikal inovasi berkenaan dapat membuka mata masyarakat agar terus menjaga SOP supaya rantaian pandemik COVID-19 dapat diputuskan.