BEIJING | China hari ini mencatatkan jumlah kes harian tertinggi COVID-19 sejak Januari, yang didorong lonjakan jangkitan import di wilayah barat daya Yunnan bersempadan dengan Myanmar.
Suruhanjaya Kesihatan Nasional dalam satu kenyataan, berkata
negara itu mencatatkan 65 kes baharu semalam, berbanding 31 kes pada hari sebelumnya.
Ia adalah kes paling banyak sejak 30 Januari lalu apabila 92 kes baharu dilaporkan.
Jangkitan import menyumbang sebahagian besar kes baharu semalam dengan Yunnan melaporkan 41 kes, yang semuanya adalah warga China yang baru pulang dari Myanmar.
Kes di Yunnan bermula pada 4 Julai lalu di Ruili dan Longchuan, dua bandar kecil di sempadan China dengan Myanmar yang mengalami peningkatan jangkitan sejak Jun.
Ruili, yang memerangi gelombang keempatnya sejak wabak itu bermula, melaporkan tujuh kes penularan tempatan baharu semalam, manakala Longchuan merekodkan satu kes.
Ruili adalah pusat transit darat utama di Yunnan, yang mempunyai kawasan sempadan seluas 4009 kilometer dengan Laos, Myanmar dan Vietnam.
Kes di Yunnan adalah jangkitan kluster kedua di China membabitkan varian Delta yang mudah menular selepas kes penularan di wilayah Guangdong selatan pada Mei dan sepanjang Jun.
Tanah Besar China merekodkan 19 kes tidak bergejala, berbanding 17 pada hari sebelumnya.
China tidak mengira jangkitan tanpa gejala sebagai kes yang disahkan.
Jumlah kes di China kini mencapai 92,342 dengan kematian tidak berubah pada angka 4,636 – AGENSI