KOTA BHARU | Ibadah korban dalam normal baharu di Kelantan disambut mengikut prosedur operasi standard (SOP) sebagaimana ditetapkan pihak berwajib.
Tinjauan Journal Malaysia di Masjid Al Sultan Ismail Petra Kubang Kerian mendapati petugas untuk menyembelih ternakan juga mengikut kapasiti ditentukan iaitu seramai 10 orang untuk setiap ruminan.
Sebelum memasuki kawasan penyembelihan juga setiap petugas menjalani saringan suhu, memakai pelitup muka dan perlu imbas kod MySejahtera sementara kanak-kanak tidak dibenarkan masuk.
Imam Tua Masjid Al Sultan Ismail Petra Kubang Kerian, Hairul Azizi Mokhtar berkata, untuk hari pertama sebanyak lima ekor lembu dikorbankan manakala keesokannya pula empat ekor.
“Ibadah korban hari ini dilakukan mengikut SOP yang ditetapkan dan kawalan ketat dibuat supaya tidak menimbulkan sebarang masalah.
“Pihak masjid juga junjung kasih kepada Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V kerana membenarkan ibadah korban dijalankan dalam normal baharu,” katanya kepada Journal Malaysia hari.
Terdahulu beliau turut menyertai solat Sunat Aidiladha bersama tiga jemaah yang lain sebagaimana ditetapkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan.
Pada tahun ini, ibadah korban secara persendirian tidak dibenarkan di Kelantan.
Sementara itu, seorang penyembelih Razali Hussin, 53, berkata, meskipun sambutan Aidiladha tahun ini dalam norma baharu, namun ibadah korban tetap dilakukan.
“Tahun ini merupakan kali kedua raya haji disambut dalam keadaan pandemik Covid-19, walaupun tidak seperti kebiasaan, namun Aidiladha tahun ini disambut dengan penuh keinsafan dan kesyukuran.
“Walaupun hanya 10 orang dibenarkan mengurus sembelihan, namun kita mampu siapkan dengan cepat kerana mereka semua berpengalaman,” katanya.