By Nor Shazleza Shahril
KUALA LUMPUR | Jawatankuasa Bersama Vaksinasi dan Imunisasi (JCVI) menasihatkan kanak-kanak yang berisiko tinggi mendapat penyakit COVID-19 supaya mengambil vaksin Pfizer-BioNTech.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia merangkumi kanak-kanak berusia antara 12 hingga 15 tahun.
Katanya, kanak-kanak ini yang mengalami kecacatan saraf, sindrom down, imunosupresi dan masalah pembelajaran.
“JCVI juga mengesyorkan agar kanak-kanak dan remaja berusia 12 hingga 17 tahun yang tinggal dengan orang yang mengalami masalah imunisasi supaya mengambil vaksin yang sama.
“Ia secara tidak langsung akan melindungi mereka daripada dijangkiti penyakit yang serius daripada kesan COVID-19,” katanya yang berkongsi laporan itu menerusi laman Facebooknya di sini hari ini.
Beliau berkata, golongan remaja berusia 16 hingga 17 tahun sebelum ini sudah ditawarkan untuk divaksinasi.
Katanya, kanak-kanak yang sihat tidak disyorkan mengambil suntikan vaksin oleh JCVI.